Ahad, 8 Mei 2016

 

Tunku Abdul Rahman Putra : Bapa Kemerdekaan Malaysia

PENGENALAN

Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Shah (1903-1990) merupakan Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu dari 1955, dan menjadi Perdana Menteri Malaysia yang pertama dari tahun 1957 sehingga 1970. Beliau juga turut dikenali dengan panggilan “Tunku” serta digelar dengan gelaran sebagai ”Bapa Kemerdekaan” dan ”Bapa Malaysia”.
Kehidupan Peribadi


Tunku Abdul Rahman dilahirkan pada 8 Februari 1903 di Istana Tiga Tingkat, Alor Setar, Kedah yang lebih dikenali sebagai Istana Pelamin. Tunku Merupakan anak lelaki yang ke tujuh dan anak yang kedua puluh kepada Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Sultan Kedah yang ke-24. Bondanya Cik Menjalara, adalah seorang isteri Sultan Abdul Hamid yang tidak berdarah gahara, iaitu anak perempuan Lung Naraborirak (Kleb), seorang pegawai daerah Thailand.
Kronologi Perkhidmatan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj
1931    Berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam Kedah
1938    Pegawai daerah Sungai Petani dan kemudiannya di Kulim Kedah
1940    Timbalan Pengarah Pertahanan Awam di Kedah Selatan
1949    Pengerusi UMNO Kedah
1951    Dilantik sebagai Presiden UMNO
1954    Presiden Parti Perikatan
1955    Ahli Majlis Perundangan Persekutuan
1955    Ketua Menteri Tanah Melayu dan memegang portfolio Menteri Dalam Negeri
1955    Mengetuai delegasi kemerdekaan ke London
1956    Memegang portfolio tambahan sebagai Menteri Pertahanan dan Keselamatan Dalam Negeri
1957    Ketua Menteri Tanah Melayu dan juga Menteri Hubungan Luar
1959    Ahli Parlimen Kuala Kedah, Kedah
1959    Ketua Menteri Tanah Melayu (selepas pilihanraya)
1963    Perdana Menteri Malaysia
1964    Selain dari tugas sebagai Perdana Menteri Malaysia, Tunku juga merupakan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan .

Permulaan Sebagai Tokoh Negara
Sumbangan Tunku Abdul Rahman Putra dalam penyatuan kaum dalam dilihat melalui cara diplomasi yang digunakan oleh beliau sehingga tidak menyinggung perasaan antara kaum. Sehubungan itu, melalui Parti Perikatan beliau telah berjaya membawa kemerdekaan kepada Tanah Melayu dan seterusnya menjadi Malaysia yang berjaya. Seperti yang kita semua tahu, penyatuan merupakan asas penubuhan Malaysia sehingga ke hari ini. Tunku Abdul Rahman telah bekerja keras untuk membebaskan Negara dari cengkaman penjajah. Bagi mencapai matlamat tersebut, beliau telah mendapatkan keyakinan pihak British dengan melantik beberapa orang tokoh di kalangan masyarakat Cina dan India untuk turut sama mentadbir Negara.
Sebagai ketua, Tunku Abdul Rahman perlu menjaga kebajikan semua rakyat. Beliau perlu memastikan ketuanan masyarakat Melayu terjamin, disamping memastikan masyarakat Cina dan India menjadikan Tanah Melayu sebagai tanahair mereka.
Pada tahun 1951, UMNO telah mengorak langkah dengan memasuki era baru apabila Tunku Abdul Rahman Putra telah dilantik sebagai Presiden UMNO yang baru menggantikan Dato’ Onn Jaafar. Setelah perlantikan tersebut, Tunku telah berjanji akan berusaha untuk memastikan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.
Pada tahun  1955, Perikatan telah menyuarakan kehendaknya pada Kolonial British untuk mengadakan satu pilihanraya umum untuk membuktikan bahawa Malaya ketika itu sudah bersedia untuk Merdeka. Usaha mereka membuahkan hasil di mana Perikatan telah berjaya memenangi 51 daripada 52 kerusi yg dipertandingkan. Setelah itu, sebuah jemaah menteri atau kabinet telah ditubuhkan. Tunku juga terlibat dengan Rundingan Baling yang melibatkn Tunku sendiri bagi pihak kerajaan dan Chin Peng bagi pihak Parti Komunis Malaya (PKM). Pada 1963, Tunku juga memainkan peranan penting dalam pembentukan MALAYSIA iaitu penyatuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura. Beliau juga menyarankan supaya sebuah pertubuhan yang dipanggil MAPHILINDO (Malaysia, Filipina dan Indonesia) diwujudkan bagi membincangkan kerjasama antara tiga buah negara.

SUMBANGAN:

Kemerdekaan
Tunku Abdul Rahman Putra telah mengetuai misi ke London untuk berbincang dengan pihak kerajaan British berkenaan kemerdekaan Tanah Melayu. Rombongan merdeka tersebut telah sampai ke London pada 14 Januari 1956. Tunku telah bekerja keras dengan mendapatkan sokongan dari semua kaum bagi memberi keyakinan kepada pihak British. Usaha beliau tersebut telah menampakkan hasil apabila beliau telah menandatangani perjanjian kemerdekaan di Lancaster House, London pada 8 Februari 1956. Rentetan dari peristiwa itu, Tanah Melayu telah berjaya mendapatkan kemerdekaan  dari pihak British. Pengisytiharan kemerdekaan telah dilaungkan di hadapan dua puluh ribu rakyat Persekutuan Tanah Melayu dan Raja-raja serta perwakilan dari tiga puluh negara Komanwel dan negara-negara asing yang lain pada tarikh keramat 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.
Perpaduan
Di bawah kepimpinan Tunku, beliau telah menjelajah seluruh pelusuk Negara untuk bertemu dengan rakyat bagi membangkitkan kesedaran dan semangat perpaduan. Melalui usaha tersebut, beliau telah mendapat sokongan dan kerjasama dari semua kaum. Ianya dapat dilihat dengan wujudnya sebuah Parti Perikatan yang menggabungkan UMNO dan MCA pada 1952. Perikatan telah memenangi pilihan raya Majlis Bandaran Kuala Lumpur.
Keamanan Negara
Dalam usaha Tunku Abdul Rahman Putra untuk mencapai kemerdekaan, beliau sedar bahawa kemerdekaan Tanah Melayu hanya dapat dicapai sekiranya darurat ditamatkan. Justeru itu, Tunku telah melantik dirinya sendiri sebagai menteri Pertahanan dan Keselamatan Dalam Negeri. Perkara utama yang menjadi tumpuan beliau pada masa itu adalah ingin menamatkan tempoh darurat. Ini kerana beliau melihat hanya melalui kemerdekaan sahaja yang dapat merealisasikannya.
Pada 24 Disember 1955, satu perjumpaan telah diadakan dengan pihak PKM di Baling, Kedah. Perjumpaan tersebut diketuai oleh Tunku Abdul Rahman Putra sendiri dan juga disertai oleh Tun Tan Cheng Lock selaku Presiden MCA dan David Marshall selaku Ketua Menteri Singapura. Manakala pihak PKM diwakili Chin Peng sebagai ketua perwakilan, Rashid Maidin dan Chen Tian. Tiga siri perjumpaan telah diadakan dalam masa dua hari itu.
Semasa rundingan tersebut, satu gencatan senjata telah diisytiharkan dan penarikan balik pasukan keselamatan yang mengawal telah mengurangkan perasaan bimbang pihak komunis. Tunku Abdul Rahman Putra menyatakan kesanggupan beliau bekerjasama sekiranya PKM menerima syarat-syarat penyerahan diri dan turut serta dalam pergerakan politik dengan cara perlembagaan. Tunku telah mencadangkan kepada Chin Peng supaya meletak senjata. Rundingan telah ditamatkan pada 29 Disember 1955. Dalam rundingan itu, Chin Peng bersetuju apabila sebuah kerajaan persekutuan dipilih sebagai menerajui Tanah Melayu, PKM akan meletak senjata dan membubarkan PKM. Pada 8 Februari 1956, Tunku telah mengumumkan penarikan balik tawaran pengampunan. Pada 31 Julai 1960, Sultan Izzuddin Shah, iaitu Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan tamatnya zaman darurat di Tanah Melayu.
Perhubungan Antarabangsa
Dasar luar negara adalah penting dalam usaha menjalinkan persahabatan dan kerjasama serantau dan negara-negara luar.
Tunku Abdul Rahman Putra telah memberi sumbangan yang baik kepada negara. Beliau telah mula mengamalkan piagam Bangsa-bangsa Bersatu bagi memelihara keamanan dunia secara bersama. Kerjasama antarabangsa amat penting untuk perkembangan ekonomi, pelancongan dan kebudayaan. Beliau juga telah meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara yang berkecuali.
Antara kerjasama Malaysia dalam pertubuhan serantau adalah seperti Persatuan Asia Tenggara (ASA), MAPHILINDO (Malaysia, Filipina dan Indonesia), Association of Southeast Asian Nations (ASEAN). Malaysia juga termasuk dalam negara-negara Komanwel, Pertubuhan bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Negara-negara Islam dan Pertubuhan Negara-negara Berkecuali.
Persatuan Asia Tenggara (ASA) merupakan idea Tunku Abdul Rahman Putra. Idea tersebut telah dikemukakan kepada Presiden Filipina yg pada masa itu iaitu Carlos P. Garcia dan akhirnya telah ditubuhkan secara rasminya pada bulan Julai 1961 di Bangkok, Thailand. Objektif penubuhan adalah untuk menjalin kerjasama dalam bidang perdagangan, pelajaran, pertanian dan perusahaan.
Penyatuan Tanah Melayu, Sabah, sarawak, Brunei dan Singapura untuk membentuk Malaysia telah mendapat tentangan daripada Indonesia.bagi meredakan keadaan, Tunku telah mengadakan satu mesyuarat di Manila, Filipina. Dengan itu, maka tertubuhnya sebuah pertubuhan yang di panggil MAPHILINDO (Malaysia, Filipina dan Indonesia).
ASEAN pula telah ditubuhkan secara rasmi pada 8 Ogos 1967 di Bangkok, Thailand. Antara negara-negara yang menyertai ASEAN pada ketika itu adalah Malaysia, Singapura, Filipina, Indonesia dan Thailand. Ianya bermatlamatkan pengembangan ekonomi, sosial dan kebudayaan serantau. Malaysia juga menjadi anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 17 September 1957 dan merupakan anggota WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia), ILO (Pertubuhan Buruh Antarabangsa), UNESCO (Pertubuhan Pelajaran, Sains & Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu), FAO (Pertubuhan Makanan dan Pertanian) dan WB (Bank Dunia). Beliau juga telah mencadangkan penubuhan Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) dan telah dilantik sebagai Setiausaha Agung yang pertama bagi Pertubuhan tersebut.

Saat-Saat Akhir

Pada usia 87 tahun, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah meninggal dunia di Hospital Besar Kuala Lumpur. Jenazah beliau telah diberi penghormatan terakhir oleh orang ramai di Dewan Bankuasi, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, sebelum diterbangkan ke Alor Setar. Setibanya di Kedah, jenazah Allahyarham Tunku Abdul Rahman diberi penghormatan terakhir oleh Sultan dan Sultanah Kedah di Balai Besar, sebelum dikebumikan di Makam Diraja, Alor Setar. Pemergiannya merupakan suatu kehilangan yang besar dan jasanya sentiasa dikenang oleh rakyat Malaysia.
AL –FATIHAH

Sumber:

Tiada ulasan:

Catat Ulasan